

MAJLIS ILMU
Selain daripada menyediakan perkhidmatan rawatan perubatan Islam, pihak kami juga sedang dalam proses rancangan untuk mengadakan majlis-majlis ilmu dan juga kelas tarbiyah bagi menggalakkan masyarakat untuk terus mempelajari ilmu pengetahuan, tidak kira peringkat umur.
Sepertimana yang kita semua sedia maklum, ilmu itu luas, ilmu ALLAH SWT sangat luas sehingga ada akal kita yang tidak dapat mencapainya. Sebagai seorang khalifah di muka bumi ALLAH SWT ini, kita seharusnya bertindak untuk terus mencari kurniaan-NYA bagi meningkatkan lagi kemajuan Islam dan mendidik generasi muda agar mencintai ilmu.
Hendaklah kita semua menjadikan Al-Quran itu sebagai rujukan utama kita dan As-Sunnah itu sebagai amalan utama kita sepertimana pesanan Rasulullah S.A.W di dalam khutbah terakhir baginda yang disampaikan pada 9hb Zulhijjah, Tahun 10 Hijriah di Lembah Uranah, Gunung Arafah.
Wahai Manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya, aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.
Sila klik sini untuk isi Khutbah Terakhir Nabi Muhammad S.A.W. Moga bermanfaat kepada kita semua, in shaa Allah. Justeru, dengan izin ALLAH SWT suatu hari nanti, pihak kami akan mula mengadakan majlis-majlis ilmu agar kita semua dapat berkongsi dan muhasabah diri untuk menjadikan kita sebagai hamba ALLAH SWT yang lebih tawaduk, beriman dan bertaqwa kepada-NYA.
ALLAH menganugerahkan al-Hikmah (pemahaman yang dalam tentang al-Quran dan as-Sunnah) kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan barangsiapa yang dianugerahkan al-Hikmah itu, dia benar-benar telah dianugerahkan kurnia yang banyak. Dan hanya orang yang berakal yang dapat mengambil pelajaran (dari firman ALLAH) - Surah Al-Baqarah, Ayat 269 (Rujukan : Terjemahan Al-Quran Al-Karim oleh Al-Hidayah House of Qur'an Sdn Bhd)
0 comments:
Post a Comment