photo Bismillah_zps900cffcc.jpg
 photo mvable1_zps3a249748.gif

Monday, 12 August 2013

[Artikel] Gua : Hijrah Adalah Antara Saya Dengan Allah

Online Gua.com.my : 23 Ogos 2013 : Oleh Kamaruddin Razal
Artikel Sebenar Klik di Sini

Penyanyi kelahiran program realiti 'Akademi Fantasia' musim kedua ini telah mula menjinakkan diri dengan menimba ilmu dalam bidang perubatan Islam. GUA menemui Adam di Pusat Rawatan Islam Nur Khalifah Al-Hasani, Kota Damansara dalam satu sesi temubual mengenai bidang baru yang sedang didalaminya ini.

“Saya mula berjinak sejak penghujung tahun 2010. Pada awalnya, saya belajar dengan pak cik saya. Dia bukan seorang pengamal perubatan Islam tetapi dia membantu ahli keluarga terdekat jika terdapat sebarang masalah. Bila saya tengok pak cik saya, timbul rasa minat untuk membantu orang.

"Sekarang saya belajar dengan guru saya, Sheikh Firdaus At Taibun Al Makki. Selepas saya belajar dengan pak cik saya, saya dipertemukan dengan Sheikh Firdaus dan saya belajar ilmu agama dengan beliau. Lepas saya belajar ilmu agama, baru saya tahu yang di dalam Islam itu sendiri salah satu cabangnya adalah perubatan. Jadi terdetik dalam hati saya, kenapa tidak saya mendalami ilmu agama dan saya menghubungkannya dengan ilmu perubatan Islam,” jelas pemilik nama Mohd Aizam Mat Saman ini.

Ketika diminta mengulas mengenai kerjaya seninya memandangkan dia kini sedang mendalami ilmu perubatan Islam, Adam berkata dia ada rencana untuk memperlahankan aktiviti seninya.

“Kerjaya seni saya masih berlangsung seperti biasa. Kerjaya masih rancak seperti dulu tetapi saya ada perancangan untuk memperlahankannya. Bakal menyusul adalah ‘single’ terbaru saya yang berentak rancak berjudul "Penggodam Jiwa", ciptaan Edry Abdul Halim selepas Syawal ini.

"Walaupun saya berada dalam lapangan seni, saya berdoa agar tidak lalai dengan keduniaan dan kerjaya semata-mata. Saya mengambil inisiatif untuk mendalami ilmu agama. Ada orang cakap saya sudah berhijrah tapi sebenarnya saya kurang selesa dengan gelaran itu.

"Hijrah adalah antara saya dengan Allah. Saya tidak pernah pun mengeluarkan kenyataan yang mengatakan saya sudah berhijrah. Saya lebih selasa jika saya digelar seorang yang sedang dan masih mendalami ilmu agama,” ulas Adam panjang lebar.

“Kita kena sentiasa berhati-hati. Semakin kita dekat dengan Allah, semakin besar ujian. Masyarakat akan sentiasa memandang. Bila kita menuju ke arah kebaikan tapi kita buat kesilapan sedikit dalam perjalanan itu, orang akan bercakap.

"Jadi bagi saya, langkah harus diambil satu persatu dengan perlahan-lahan. Kita manusia tak lari dari melakukan kesilapan. Sesiapa jua atas muka bumi ini pasti ada salah dan silapnya,” ujar Adam lagi yang lebih selesa mengenakan jubah bersama serban sebagai pakaian hariannya.

Adam menyatakan yang ada orang salah faham dengan penampilannya yang mengenakan jubah dan serban.

“Bila saya keluar, jubah adalah pakaian saya. Bila saya sarungkan jubah, secara automatik saya akan mengenakan serban sekali. Bila orang jumpa saya diluar ada orang berkata yang saya menyertai jemaah tabligh. Ingin saya betulkan di sini kerana saya bukan jemaah tabligh. Orang telah salah sangka dengan penampilan saya,” jelas Adam.

Pusat Rawatan Islam Nur Khalifah Al Hasani
Baru sahaja ditubuhkan sekitar pertengahan Julai lalu, masih belum ramai yang mengetahui tentang kewujudan pusat rawatan Islam ini. Pusat rawatan Islam yang terletak di Kota Damansara ini ditubuhkan Adam bersama gurunya, Sheikh Firdaus.

“Pusat rawatan ini baru sahaja memulakan operasi. Rawatan yang kami sediakan adalah berteraskan penghayatan tauhid, doa dan Al-Quran yang menjadi penyembuh penyakit itu sendiri. Antara rawatan yang disediakan adalah yang ada kena mengena dengan penyakit zahir seperti darah tinggi, kencing manis, lemah jantung dan lain-lain lagi. Selain itu, rawatan sakit yang melibatkan gangguan jin seperti santau, saka, sihir dan lain-lain lagi boleh didapati di sini,” cerita Adam.



Beroperasi mulai jam 10 pagi hingga ke 10 malam, Pusat Rawatan Islam Nur Khalifah Al Hasani terletak di NW-3A-20, Cova Square, Jalan Teknologi, Kota Damansara berhadapan Kolej SEGI. Jika terdapat sebarang pertanyaan yang ingin diajukan, hubungi 03-6142 2919 atau 016-245 7919.

0 comments: