photo Bismillah_zps900cffcc.jpg
 photo mvable1_zps3a249748.gif

Saturday, 3 August 2013

[Artikel] Harian Metro : Adam Buka Pusat Rawatan

Harian Metro : 02 Ogos 2013 : Oleh Ramlah Zainal

Berhijrah ke arah keagamaan dan mendalami bidang rawatan perubatan Islam bukan bermaksud penyanyi Adam AF mahu bersara daripada bidang seni memandang­kan bidang itu sudah sebati dengannya sejak dulu. Penyanyi kelahiran Kota Kinabalu, Sabah dan pemilik nama sebenar Mohd Aizam Mat Saman, 30, ini berkata, buat masa ini periuk nasinya adalah dalam bidang seni dan dia akan terus mencari rezekinya dalam bidang ini.

“Kalau ikutkan hati memang saya nak tinggalkan terus bidang seni, tapi nampaknya sekarang inilah rezeki saya. Jika tidak saya akan tumpukan pada rawatan perubatan Islam,” katanya. Namun, ada pihak yang menganggap dirinya kini dalam ‘dua karakter’ berbeza iaitu penyanyi berimej ranggi di pentas dan imej ustaz. Bagi Adam, dia menganggap dirinya belum layak untuk dipanggil ustaz. 

ADAM bersyukur dengan anugerah Tuhan diberikan kepadanya.

“Saya masih belajar dan ilmu Allah SWT ini juga tidak akan habis untuk dipelajari. Saya juga berubah secara perlahan-lahan dan bukannya secara drastik. “Saya juga masih memenuhi undangan per­sembahan seperti biasa dan bila tidak ada ‘show’ barulah saya fokus pada rawatan perubatan Islam yang mula sebati dalam diri ini,” katanya. 

Mengulas lanjut per­kembangan karier seni­nya pula, kata Adam, dia kini bergerak secara solo tanpa kumpulan VIP yang sudah berpecah dan membawa haluan masing-masing. “Saya putuskan untuk berpecah de­ngan kumpulan VIP kerana saya perlu fokus pada bidang perubatan Islam yang baru diceburi ini. “Lebih baik kami berpecah kerana saya bimbang tidak dapat memberi komitmen dengan kumpulan kerana sibuk mendalami ilmu perubatan Islam ini,” katanya. 

Dalam pada itu, Adam bakal muncul dengan single terbarunya selepas Aidilfitri nanti. “Ia berjudul Peng­godam Jiwa dan dicipta Edry KRU. Insya Allah, saya juga merancang untuk tampil dengan lagu bercorak keagamaan selepas ini sebagai medium untuk saya berdakwah kepada generasi muda di luar sana,” katanya. Sempena Aidilfitri tahun ini, Adam akan menyambutnya di kampung halamannya di Kampung Inanam Laut, Kota Kinabalu, Sabah selama seminggu sebelum kembali ke ibu kota. 

Impian jadi nyata Selepas melalui pelbagai rinta­ngan, akhirnya impian Adam untuk menubuhkan pusat rawatan Islam sendiri menjadi kenyataan. Pusat Rawatan Islam Nur Khalifah Al-Hasani di Kota Damansara ini ditubuhkan Adam bersama gurunya, Sheikh Firdaus At Taibun Al Makki mula beroperasi sejak Julai lalu. Menurut Adam, dia menimba ilmu perubatan Islam dengan Sheikh Firdaus selama dua tahun sebelum memiliki keyakinan untuk merawat orang lain. 

“Pada mulanya, saya belajar rawatan perubatan Islam de­ngan bapa saudara di Sabah kerana mengubati ahli keluarga yang sakit. “Minat saya untuk mendalami ilmu agama dan perubatan Islam semakin bertambah apabila saya dipertemukan dengan Sheikh Firdaus ketika menunaikan umrah pada 2011. Apabila saya sendiri berasa ada yang tidak kena de­ngan diri saya, Sheikh juga membawa saya ‘berubat’ dengan bapanya yang juga pemilik Pusat Rawatan Alternatif Islam Nursalam Al Maliki di Sungai Petani, Kedah,” katanya.

Menurutnya, selepas sembuh dia bertekad untuk berguru ilmu perubatan Islam dengan bapa kepada Sheikh Firdaus dan beliau sendiri untuk membantu merawat orang lain pula. Hasil pengalaman itu, Adam kini semakin yakin untuk merawat sendiri. Kata Adam, rawatan yang disediakan adalah berteraskan penghayatan tauhid, al-Quran dan doa yang menjadi penyembuh penyakit. 

“Antara rawatan yang disediakan di pusat ini membabitkan masalah gangguan jin seperti saka, sihir, santau, dampingan, histeria, pengasih, pagar rumah dan menuntut ilmu salah. “Selain itu, masalah zahir seperti penyakit darah tinggi, kencing manis, gout, kegagalan buah pinggang, lemah jantung, gastrik, ulser dan kanser. Ini termasuk masalah keluarga dan sosial seperti rumah tangga, remaja bermasalah, hilang keyakinan diri, tekanan, fobia, ketagihan dadah, rokok dan sebagainya,” katanya. 

Pusat Nur Khalifah Al-Hasani beroperasi mulai jam 9 pagi hingga jam 10 malam setiap hari. Maklumat lanjut hubu­ngi talian 03 61422919; 016 24579; emel nurkhalifah.alhasani@gmail.com atau layari laman web www.nurkhalifah.com.

0 comments: